KOTA BHARU – Pendedahan berhubung kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa tidak menjelaskan tunggakan gaji pemain skuad Piala Presiden selama dua bulan adalah tidak tepat.
Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata pihaknya hanya gagal membayar gaji bulan Jun, sekali gus menafikan persatuan itu gagal membuat bayaran bagi Mei dan Jun sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
“Maklumat itu tidak betul, hanya bulan Jun yang belum dibayar…itu pun akan dibayar secepat mungkin.
“Gaji bulan Mei sudah kami selesai bayar kepada pemain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan KAFA tidak membayar gaji pemain selama dua bulan, menyebabkan pemain skuad itu tidak turun menjalani latihan.
Ismail berkata beliau tidak mengetahui punca sebenar kebanyakan pemain skuad berkenaan tidak turun menjalani latihan bersama pasukan, seperti didakwa pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya mendapat maklumat kebanyakan pemain tidak menjalani latihan selama sehari pada Isnin lalu, namun semalam, mereka kembali menjalani latihan bersama pasukan.
“Saya sudah meminta pengurus pasukan tersebut menghantar laporan punca pemain tidak menjalani latihan,” katanya. – BERNAMA