PELAKON Aeril Zafrel atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 28, berkata dia merancang untuk mengambil cuti selepas selesai pementasan teater muzikal Lela Manja yang kini berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya.
Aeril berkata, sejak Disember tahun lalu dia langsung tidak berpeluang untuk pergi bercuti kerana jadual kerja yang terlalu padat.
“Jujur saya katakan buat masa ini apa yang dimahukan adalah waktu rehat yang berkualiti kerana sejak Disember tahun lalu saya tidak berpeluang untuk berehat.
“Jadual kerja terlalu padat dengan pelbagai aktiviti dan saya mahu bercuti seketika selepas tamat pementasan teater muzikal Lela Manja,” katanya kepada mStar Online.
Aeril berkata isterinya, Wawa Zainal mula merungut apabila dia jarang meluangkan masa bersama keluarga dan terlalu sibuk bekerja.
Menurut Aeril walaupun sibuk, dia sentiasa memastikan dia berkomunikasi dengan isterinya bagi mengetahui perkembangan semasa anak-anak. – MYNEWSHUB.CC