SEEKOR lembu betina, ibu kepada lembu jantan yang menyebabkan kematian matador popular Sepanyol, Victor Barrio dalam insiden mengejutkan di Sepanyol Sabtu lalu, akan dibunuh untuk mengelakkan pembiakan bakanya.
Barrio maut selepas dadanya dirodok lembu ketika membuat persembahan di hadapan penonton di sebuah gelanggang di Madrid.
Kejadian tersebut mengejutkan rakyat Sepanyol kerana kali terakhir matador maut akibat dirodok lembu adalah 31 tahun lalu.
Baca:Â Video: Detik Matador Popular Maut Dirodok Lembu
Susulan itu, induk lembu berkenaan yang dikenali sebagai Lorenza diputuskan akan dibunuh untuk memastikan tiada lagi keturunannya selepas ini.
Keputusan ini dibantah aktivis hak asasi haiwan dan hashtag #SalvemosALorenza (#SaveLorenza) dibuat untuk menghalang pembunuhan itu dilaksanakan.
Menurut tradisi warga Sepanyol, lembu betina yang menjadi ibu kepada lembu jantan yang membunuh mana-mana matador dalam sukan penuh kontroversi itu secara automatik mesti dibunuh.
Jurucakap sebuah pertubuhan hak asasi haiwan (Pacma) berkata, bukan sahaja ibu lembu malah mana-mana baka daripada keturunan induk tersebut akan dibunuh.

Justeru tradisi berdasarkan keganasan, dendam dan darah itu perlu dihentikan.
“Tiada sebarang ritual, adat atau tradisi menyatakan darah dan kebencian adalah baik untuk masyarakat. Cara paling beretika untuk menamatkan semua ini adalah menghapuskan sukan ekstrem tersebut,” ujarnya.
Akhbar tempatan Sepanyol bagaimanapun melaporkan, lembu jantan yang menyebabkan kematian Victor telah pun dibunuh manakala Lorenza pula mati akibat sakit tua.
Barrio merupakan matador profesional pertama yang mati dalam acara sukan itu di Sepanyol selepas insiden sama menimpa seorang remaja Perancis berusia 21 tahun, Jose Cubero Yiyo pada 1985. – MYNEWSHUB.CC