GARA-GARA tersebar gambar yang didakwa merupakan gambar pernikahan keduanya, Adi Putra membatalkan majlis sambutan Aidilfitri bersama kelab peminatnya.
Majlis itu dibatalkan pada saat-saat terakhir dipercayai kerana mempunyai kaitan dengan rahsia perkahwinannya yang tersebar.
Menerusi akaun Instagram, Adi tidak memaklumkan sebarang sebab bagi membatalkan majlis itu dan hanya memohon maaf di atas perkara tersebut.

Mengikut perancangan, majlis itu sepatutnya diadakan di Casa Gombak, Ampang juga bersempena menyambut ulang tahun kelima penubuhan kelab peminatnya.
Selepas melakukan pembatalan tersebut, rata-rata pengikut dan peminat meluahkan rasa marah dan kecewa dengan sikap artis kesayangan mereka yang memilih untuk merahsiakan pernikahan keduanya daripada pengetahuan semua termasuk isterinya, Aida Yusof.
Terdahulu, rumah tangga Adi Putra bersama Aida pernah mengalami masalah hingga Adi menfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur namun dia kemudian menarik semula permohonan cerai tersebut. – MYNEWSHUB.CC