ISTANBUL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan muncul di depan khalayak ramai dan para penyokongnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, di sini pada awal pagi Sabtu.
Kemunculan tanpa diduga itu sekali gus penampilan kali pertama beliau di tempat awam susulan satu percubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang menggemparkan negara itu dan masyarakat antarabangsa.
Demikian menurut rakaman stesen penyiaran tempatan NTV yang dipetik agensi berita antarabangsa Reuters dan secara tidak langsung membuktikan rampasan kuasa dilancarkan selama dua jam itu sebagai gagal.
Fox TV di Turki turut menyiarkan rakaman ucapan Erdogan yang memberitahu seluruh rakyat Turki bahawa sekumpulan kecil pemimpin tentera melancarkan satu rampasan kuasa terhadap pihak pemerintah.
Menurut Erdogan, 62; yang pernah menjadi perdana menteri sejak 2003 sebelum dilantik sebagai presiden pada 2014; percubaan rampasan itu tersebut jelas mengkhianati perpaduan dan keharmonian rakyat Turki.
Namun beliau menegaskan bahawa azam dan tekad rakyat negara tersebut tidak akan sekali-kali membenarkan sesuatu seperti itu berjaya merampas dan memecah-belahkan perpaduan rakyat Turki.
Lewat Jumaat, tentera Turki mengisytiharkan bahawa ia sudah merampas kuasa dari pemerintah negara itu, sebelum Erdogan dilaporkan berikrar akan melenturkan percubaan rampasan kuasa tersebut.
Jika berjaya, penggulingan Erdogan, bakal menjadikan rampasan kuasa itu salah satu peralihan kuasa yang terbesar di Timur Tengah sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas revolusi Arab Spring.
Ia sekali gus merobah salah satu sekutu terpenting Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat, ketika peperangan masih lagi tercetus di sempadan Turki terhadap pemberontak puak Kurdish dan militan Daesh.
“Kita akan mengatasinya,” kata Erdogan semasa bercakap menerusi panggilan telefon dengan stesen televisyen CNNÂ sambil turut menyeru kepada jutaan penyokong beliau supaya mengadakan bantahan jalanan.
Seruan tersebut sebagai usaha majoriti rakyat bagi mempertahankan kerajaan pimpinannya dan beliau juga berkata bahawa orang yang mendalangi rampasan kuasa itu akan menanggung padahnya kelak.
Perdana Menteri Turki, Binali Yildrim menegaskan bahawa pemerintah yang dilantik masih berkuasa, namun lapangan terbang sudah ditutup, akses Internet kepada lelaman media sosial juga sudah disekat.
Pasukan tentera sudahpun menutup kedua-dua jambatan utama di Bosphorus di Istanbul manakala jet-jet pejuang dan helikopter tentera juga dilihat melakukan penerbangan di ruang udara ibu kota Ankara.
Pihak tentera juga dilaporkan mengambil alih kuasa stesen televisyen TRT yang mengumumkan perintah berkurung dan undang-undang tentera sudah pun dikuatkuasakan di seluruh negara berkenaan.
Seorang juruhebah membaca kenyataan atas arahan pihak tentera yang menuduh kerajaan Turki sedia ada telah mencabuli sistem demokrasi dan perlembagaan undang-undang sekular di negara tersebut.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Turki konon akan ditadbir oleh sebuah majlis perdamaian yang akan menjaga dan melindungi keselamatan rakyat. Sejurus kemudian siaran stesen TRT dihentikan.
Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang mengeluarkan kenyataan bersama selepas mengadakan rundingan di Moscow berkata mereka berharap pertumpahan darah dapat dielakkan.
AS juga menggesa rakyatnya yang masih lagi berada di Turki supaya jangan keluar daripada rumah masing-masing dan nasihat perjalanan yang sama turut dikeluarkan oleh beberapa buah negara Barat lain.
Turki, anggota NATO dengan jumlah askar yang kedua terbesar dalam perikatan tentera antarabangsa itu juga merupakan salah satu sekutu terpenting AS dalam peperangan membanteras kumpulan militan Daesh.
Negara itu juga sebelum ini digegarkan dengan beberapa siri pengeboman sejak awal tahun ini, termasuk serangan yang dilancarkan dua minggu lalu di lapangan terbang utama Istanbul mengorbankan lebih 40 orang.
Setelah dilantik sebagai presiden pada 2014, Erdogan dilaporkan pernah mempunyai rancangan untuk menggubal perlembagaan negara itu dengan memberikan beliau lebih banyak kuasa eksekutif.
Hubungan Parti AK pimpinan beliau dengan pihak tentera negara itu semakin tegang sejak beberapa tahun dan tentera Turki pernah melancarkan rampasan kuasa bagi mempertahankan prinsip-prinsip sekular.
Kali terakhir tentera cuba berbuat demikian ialah pada 1980. Dalam pada itu, Yildrim yang dilantik sebagai perdana menteri sejak 24 Mei lalu berkata sekumpulan pemimpin kanan tentera cuba menggulingkan pemerintah.
Bagaimanapun pasukan keselamatan sudah dikerah untuk melaksanakan apa yang perlu dan berkata:Â “Pemerintah yang dipilih rakyat masih berkuasa. Ia hanya dibubarkan jika rakyat sendiri menentukan sedemikian.”
Mereka yang mendalangi rampasan kuasa ini akan menanggung padahnya, tegas beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

