BARU-baru ini sebuah posting berjudul ‘Cikgu Bersara, Murid Wajib Derma RM1’ yang ditulis oleh saudara Izman Pauzi di laman Facebooknya menjadi perdebatan ramai setelah ianya menjadi viral.
Baca: ‘Cikgu Bersara, Murid Wajib Derma RM1.00’
Penulisan berkenaan ternyata mendapat komen positif dan tidak kurang juga yang mencerca golongan guru termasuk Izman sendiri.
Sehinggakan ada dalam kalangan netizen khususnya ibu bapa tertanya-tanya adakah amalan menderma kepada guru untuk meraikan majlis persaraan sudah ‘termaktub’ dalam surat pekeliling dan telah mendapat kebenaran Kementerian Pendidikan?
Jika tiada, pihak sekolah termasuk para guru sendiri tidak boleh sesuka hati mengeluarkan arahan atau meminta derma dari murid-murid.
Mungkin ada yang berpendapat RM1 itu apalah sangat nilainya dengan jasa dan pengorbanan guru yang tidak henti-henti mengajar serta mendidik kita hinggakan pula persoalkan derma itu.
Benar, mereka bukan sahaja curahkan ilmu kepada anak-anak kita, tetapi juga berkorban masa dan tenaga hingga adakala terpaksa mengabaikan keluarga sendiri.
Namun kita juga tidak boleh sama sekali menyamakan ‘poket’ kita dengan ‘poket’ orang lain.
Sekiranya derma RM1 ini diamalkan, pendek kata, pengemis di kawasan Sogo sendiri mungkin bakal tersenyum lebar melihat nilai yang diterima guru kerana sama atau lebih daripada yang diterima mereka.
Bukan itu sahaja, timbul persoalan mengapa golongan polis, askar dan bomba yang bersara tidak pula diraikan ‘sehebat’ majlis persaraan guru? Walhal mereka sanggup bergadai nyawa demi masyarakat Malaysia.
Oleh itu, setiap guru perlulah berlapang dada dan ikhlas mengajar tanpa mengharapkan sebarang majlis persaraan dari murid-murid. Tambahan pula, bergelar pendidik itu adalah satu tugas yang cukup mulia. – MYNEWSHUB.CC

