SANDAKAN – Sembilan puluh lima peratus banduan terlibat dalam kegiatan keganasan yang menjalani program pemulihan dan deradikalisasi di penjara berjaya dipulihkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau yang tidak mendedahkan jumlah banduan tersebut berkata lima peratus lagi belum dapat dipulihkan kerana masih berdegil dan tidak mahu dipulihkan.
Katanya banduan terlibat disabit kesalahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Mereka menjalani pemulihan di penjara menerusi empat fasa bagi membolehkan mereka kembali kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 316 anggota Jabatan Penjara Sabah di sini, hari ini.
Beliau berkata fasa pertama adalah banduan terlibat diberi layanan, rawatan dan orientasi.
Katanya fasa kedua adalah program membentuk sahsiah bagi mengubah pemikiran mereka dan fasa ketiga adalah latihan kemahiran dan vokasional supaya mereka memperoleh kemahiran supaya mendapat pekerjaan apabila kembali ke pangkuan masyarakat.
Menurutnya fasa keempat adalah banduan menjalani integrasi sosial dengan keluarga mereka yang memainkan peranan penting supaya banduan tidak kembali lagi kepada aktiviti berunsur keganasan apabila dibebaskan.
Nur Jazlan berkata di negara ini, kaedah pemulihan diambil terhadap banduan termasuk yang terlibat dalam kegiatan keganasan.
Katanya Malaysia mengutamakan hak asasi manusia dan menganggap banduan masih boleh dipulihkan untuk kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.
Beliau berkata ia berbeza dengan negara lain yang menghukum pesalah aktiviti keganasan dengan hukuman bunuh dan penyeksaan. – BERNAMA