JOHOR BAHARU – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) bakal menjalankan operasi khas pada 2 hingga 5 Julai ini bagi mengatasi jumlah kenaikan sisa pepejal yang dijangka meningkat sebelum sambutan Aidilfitri ini.
Pengurus Besar Kumpulannya Adnan Ibrahim berkata pihaknya menjangkakan kadar pembuangan sisa pepejal dijangka meningkat 20 peratus ketika sambutan Aidilfitri.
“Berdasarkan rekod, purata kutipan sisa pepejal yang diuruskan oleh SWM ialah sebanyak 3,200 tan sehari dan angka itu dijangka meningkat 20 peratus atau bertambah 600 tan ketika musim perayaan,” katanya.
Justeru, operasi khas itu dilaksanakan menerusi penjadualan perkhidmatan mengutip sampah yang dianjak sehari lebih awal bagi mengelakkan timbunan sisa pepejal sebelum sambutan Aidilfitri, kata Adnan.
“Penganjakan jadual perkhidmatan ini bagi menampung keperluan kawasan perkhidmatan serta memperhalusi kemampuan tenaga kerja SWM yang kira-kira 80 peratus daripada mereka tidak bertugas bagi tempoh berkenaan,” katanya kepada pemberita mengenai strategi operasi kutipan sisa pepejal SWM pada Aidilfitri dan majlis berbuka bersama media, di sini malam tadi.
Beliau berkata melalui operasi itu, tumpuan adalah di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam yang tinggi di seluruh Johor.
Di Johor Baharu misalnya, tumpuan perkhidmatan SWM adalah seperti di Bandar Baru Uda, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Kampung Melayu dan Kampung Bendahara dan Bandar Baru Uda.
Menurut Adnan, sebagai pemegang konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), SWM sentiasa bersiap sedia menguruskan operasinya sempena Aidilfitri.
Katanya pengguna perlu memanfaatkan perkhidmatan berjadual disediakan iaitu dua kali seminggu bagi kutipan sisa pepejal, manakala sekali seminggu bagi kutipan sisa pukal, kebun dan kitar semula. – BERNAMA