KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa supaya satu undang-undang yang spesifik dan lebih tegas diwujudkan bagi melindungi kanak-kanak negara ini daripada keganasan seksual.
Suhakam dalam satu kenyataan media mendakwa, peruntukan yang terdapat dalam undang-undang di Malaysia mengenai keganasan ke atas kanak-kanak masih kurang jelas tentang pesalah pedofilia.
“Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana kesalahan luar tabii di bawah seksyen 377B dan 377C atau menghasut kanak-kanak untuk perbuatan kelucahan melampau di bawah seksyen 377E.
“Namun terdapat kekurangan peruntukan yang jelas mengenai pedofilia,” dakwa kenyataan itu hari ini.
Suhakam memetik kes Richard Huckle, 30, yang disifatkan sebagai penjenayah kes pedofilia paling teruk di Britain berhadapan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan penderaan seksual ke atas puluhan kanak-kanak Malaysia dan Kemboja.
Huckle, 30, yang berasal dari Ashford, Kent mensasarkan mangsanya seawal usia 6 bulan, dari kalangan anak-anak keluarga miskin.
Segala-galanya terbongkar selepas polis Australia mengesan laman web pedofilia dipanggil Love Zone; yang tersembunyi di sebalik laman web gelap serta menggunakan kata laluan rahsia.
Laman web yang menyimpan puluhan ribu akaun pengguna itu, menawarkan banyak gambar-gambar dan video menunjukkan kanak-kanak didera secara seksual. – mynewshub.cc

