KUANTAN – Syarikat Rapid Bus Sdn Bhd kini memperluaskan jajaran laluan sedia ada bagi perkhidmatan bas Rapid Kuantan pada tahun ini agar lebih ramai penduduk di daerah Kuantan dan Pekan dapat menikmati kemudahan awam itu.
Ketua Pegawai Operasi Rapid Kuantan, Zainurul Hakim Mohamad berkata langkah itu diambil berikutan pembangunan pesat yang dialami dua daerah berkenaan dengan pembukaan kawasan perumahan baharu termasuk di Indera Sempurna, di sini dan kampus utama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan.
“Kita akan memanjangkan jarak di laluan sedia ada contohnya jika sebelum ini hanya 50 peratus kawasan dilalui Rapid Kuantan, kini kita akan luaskan rangkaian kepada 100 peratus.
“Pendekatan ini bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati perkhidmatan kita sekali gus memenuhi keperluan untuk pengangkutan awam,” katanya di sini.
Zainurul Hakim berkata pengukuhan laluan sedia ada itu turut disokong menerusi pembinaan sebanyak 77 perhentian bas oleh Rapid Kuantan di lokasi strategik sebelum diserahkan pengendaliannya kepada pihak berkuasa tempatan.
“Turut dibina lima hab bas di penghujung terminal seperti di Balok Makmur dan Sungai Lembing, infrastruktur itu adalah untuk memberi keselesaan kepada pengguna selain jaminan keselamatan terutama kepada golongan wanita,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan Rapid Kuantan dijangka meningkat sehingga 30,000 penumpang sehari menjelang Hari Raya Aidilfitri berbanding 15,000 penumpang pada hari biasa.
“Ramai pelajar UMP dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hendak pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri, jadi kita akan memenuhi permintaan dengan melanjutkan tempoh perkhidmatan serta menambah bas di laluan sibuk,” katanya.
Dalam perkara berkaitan, Zainurul Hakim berkata, pihaknya masih melakukan kajian berhubung cadangan kerajaan negeri supaya perkhidmatan bas Rapid Kuantan diperluaskan ke kawasan Cherating iaitu salah satu lokasi pelancongan utama di Kuantan.
“Kita perlu melakukan kajian dari segi kos operasi seperti diesel, kita tangguhkan terlebih dulu (perjalanan ke Cherating) dan buat perancangan semula selepas ini,” katanya. – BERNAMA

