KUALA LUMPUR – Statistik terkini menunjukkan pelaburan asing di Malaysia meningkat kepada RM12.8 bilion bagi tempoh suku pertama 2016 tahun ini disebalik persekitaran global di seluruh dunia masih lemah.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, nilai pelaburan asing yang meningkat 28 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dijangka bakal mewujudkan 39,990 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
“Walaupun persekitaran global masih lemah, Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan yang kompetitif bagi pelabur asing, dengan peningkatan sebanyak 28 peratus pada suku ini.
“Malaysia mencatatkan RM37.3 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan sektor utama. Pelaburan ini melibatkan 1,271 projek dan akan mewujudkan 39,990 peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Statistik itu sekali gus menepis tohmahan pemimpin pembangkang kononnya ekonomi negara sedang musnah di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mustapa seterusnya berkata, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar pelaburan yang diluluskan dalam tempoh tiga bulan pertama 2016 berjumlah RM27.6 bilion.
Menurutnya, sebanyak 1,088 projek perkhidmatan telah diluluskan dan ia berpotensi menjadi majikan terbesar dalam ekonomi dengan mewujudkan sebanyak 20,200 peluang pekerjaan.
Katanya, sektor perkilangan pula mencatatkan pelaburan berjumlah RM8.9 bilion daripada 170 projek bagi tempoh Januari hingga Mac 2016 dan dijangka menjana kira-kira 19,650 peluang pekerjaan. – Mynewshub.cc