LONDON – Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan peletakan jawatan beliau pada Oktober depan, beberapa jam selepas warga United Kingdom (UK) mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) dalam satu referendum yang digelar ‘Brexit’.
Cameron mengumumkan pengunduran beliau di luar kediaman rasmi perdana menteri di Downing Street sejurus selepas keputusan akhir pungutan suara Brexit diumumkan.
Katanya, beliau akan cuba untuk ‘menstabilkan pentadbiran’ buat beberapa bulan mendatang, tetapi menegaskan bahawa pucuk kepimpinan baharu amat diperlukan.
Cameron telah menggesa rakyat Britain untuk mengundi agar terus ‘kekal’ (Remain) kerana risau akan akibat yang bakal menimpa UK dari sudut ekonomi dan keselamatan jika keluar dari EU namun ‘keluar’ mencatatkan undian majoriti iaitu sebanyak 52 peratus berbanding 48 peratus untuk Remain.
Berdasarkan analisis, England dan Wales menyokong kuat referendum Brexit manakala London, Scotland dan Utara Ireland mengundi untuk kekal di dalam blok pertubuhan serantau itu.
Sementara itu, pemimpin Parti Kemerdekaan UK Nigel Farage menyifatkan kejayaan Brexit sebagai ‘hari kemerdekaan’ UK namun penyokong Remain menggelarkan perpecahan itu sebagai ‘malapetaka’.
Susulan keputusan Britain keluar dari EU, matawang Pound Sterling jatuh mendadak dan mencatat penurunan paling rendah sejak tahun 1985. – MYNEWSHUB.CC