KUALA KANGSAR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Datin Mastura Mohd Yazid adalah calon terbaik ditampilkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Beliau berkata Mastura, 55, balu kepada penyandang kerusi Parlimen itu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad adalah individu paling sesuai sehingga tiada faktor luaran yang mampu menolak kejituannya.
“Kalau ada sikit-sikit sesama kita ini kecil hati atau rasa patut dapat (jadi calon) tapi tak dapat, ingatlah itu rezeki qada dan qadar. Pasal apa nak layan sakit hati.
“Kalau zaman kita dulu orang lain sokong kita, maka sekarang kita sokonglah. Kalau kita buat baik Allah akan balas baik…insya-Allah,” katanya ketika berucap pada program ramah mesra bersama pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ulu Kenas, kira-kira 30km dari sini, hari ini.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
PRK Parlimen Kuala Kangsar bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara dan Bebas.
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid meminta jentera pilihan raya BN supaya meningkatkan gerak kerja untuk membantu parti mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Ini terutama apabila Mastura tidak dapat menyertai kempen BN bagi PRK itu kerana perlu melalui tempoh edah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suaminya dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
“Janganlah kita sebagai jentera bila nak bergerak sikit (buat kerja) semua nak duit. Jiwa perjuangan jentera BN adalah kerja tanpa duit, walaupun calon tiada tapi kerja tetap berjalan untuk menangkan calon kita,” kata Ahmad Zahid.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Zahid berkata Mastura tidak pernah dipaksa untuk menjadi calon.
Naib Presiden UMNO itu berkata pemilihan Mastura adalah berdasarkan persetujuan daripada wanita itu sendiri.
“Tiada siapa paksa beliau untuk bertanding. Saya sendiri terlibat mengumumkan nama beliau, dan sebelum itu saya telah bertemu anak-anak beliau.
“Ini ‘reverse psychology’, mereka (pihak pembangkang) hanya tahu bercakap namun tidak tahu bahawa persetujuan itu datang daripada calon sendiri,” katanya yang mengulas pelbagai dakwaan terhadap Mastura di media sosial, selain pelbagai dakwaan tidak berasas pihak pembangkang dalam siri ceramah mereka di sekitar Kuala Kangsar selepas selesai proses penamaan calon PRK itu pada 5 Jun lepas.
Mastura menerima pelbagai tohmahan di media sosial kononnya beliau dipaksa bertanding sedangkan masih dalam edah berikutan kematian suaminya itu. – BERNAMA