KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mempunyai hak untuk mengekalkan jenama KLIA2Â termasuk mengambil tindakan undang-undang, kata Pengarah Urusan Datuk Badlisham Ghazali.
Susulan kontroversi baru-baru ini yang dibangkitkan oleh AirAsia untuk menukar jenama KLIA2 kepada Terminal Penerbangan Tambang Rendah 2 (LCCT2), beliau berkata langkah itu tidak perlu untuk mengelak kekeliruan dalam kalangan penumpang.
“Cadangan pertukaran nama itu telah menimbulkan kekeliruan kepada penumpang. Saya dengar banyak penumpang telah pergi ke LCCT lama. Jadi, kenapa kita menimbulkan kekecohan dan kekeliruan itu?
“Jenama itu kekal. Saya harap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan memaklumkan kepada AirAsia dan kita akan lihat apa yang berlaku selepas itu,” katanya kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa di ibu pejabat agensi berita itu di sini semalam.
Badlisham berkata MAHB mengalu-alukan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan AirAsia untuk menyelesaikan isu ini.
“Itu (perbincangan) tidak ada masalah pada saya tetapi menukar jenama itu, saya rasa tidak patut,” katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau akan menemui Liow hari ini untuk membincangkan cadangan pertukaran nama KLIA2.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu mencadangkan untuk menamakan semula KLIA2 sebagai LCCT2, bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan telah menyatakan pada minggu lepas bahawa tiada perubahan nama untuk KLIA2. – BERNAMA