SEREMBAN – Seorang kerani di sebuah kelab golf di Bahau ditemui lemas di dalam tasik kelab golf berkenaan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Noorzainy Mohd Noor berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 6.30 pagi.
Beliau berkata pada mulanya ibu saudara mangsa dimaklumkan bahawa anak saudaranya itu S. Sumathi, 23, telah terjatuh ke dalam tasik berkenaan kira-kira pukul 8 malam tadi, lalu beliau membuat laporan polis.
“Pihak polis kemudiannya menemui motosikal yang dipercayai milik mangsa berhampiran tasik berkenaan beserta sepasang selipar dan sebilah pisau,” katanya.
Noorzainy berkata pihak bomba dan penyelamat yang melakukan kerja-kerja mencari malam tadi gagal menemui mangsa sehingga disambung pagi ini.
Beliau berkata kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut. – BERNAMA