PENYANYI dan pakar motivasi Hafiz Hamidun kini ditahan di wad sebuah hospital di Damansara, Selangor kerana disyaki mengalami jangkitan di bahagian paru-paru.
Menurut Hafiz dia mula berasa tidak sihat ketika berada di Indonesia atas urusan kerja, minggu lalu.
Jelasnya, dia sempat menerima rawatan di sebuah hospital di negara tersebut.
“Selepas selesai urusan kerja di Indonesia, saya kembali ke Malaysia dan bekerja seperti biasa. Namun begitu selepas beberapa hari demam saya belum lagi kebah. Saya dimasukkan ke sebuah hospital di Damansara dan sudah memasuki hari ketiga di sini.
“Saya disyaki mengalami jangkitan paru-paru dan juga tibi. Platlet darah saya juga rendah. Kemungkinan saya akan ditahan tiga hari lagi di hospital,” katanya kepada Astro Gempak.
Hafiz memberitahu, dia tidak dapat menjalani ibadah puasa kerana perlu mengambil beberapa ubat untuk menyembuhkan penyakitnya.
Dia turut meluahkan harapannya mahu segera sembuh supaya dapat menyambut Ramadan seperti biasa. – MYNEWSHUB.CC