KUALA LUMPUR – Sebelum ini, rakyat Malaysia hanya mampu menonton filem Tamil dengan sari kata bahasa Melayu, namun bakal berpeluang menonton Kabali, yang dibintangi pelakon tersohor India, Rajinikanth, dalam versi bahasa Melayu mulai 22 Julai ini.
Penerbit bersama Kabali, Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata filem itu bakal mencipta sejarah apabila dialih bahasa dari Tamil ke bahasa Melayu buat kali pertamanya dalam dunia perfileman negara tersebut.
“Bagi versi bahasa Melayu, selebriti tanah air Arun Kumar menyumbang suaranya untuk watak Rajinikanth dan Fathia Latiff pula bagi watak Dhansika, iaitu anak Rajinikanth.
“Untuk melakukan alih suara itu, kesemua yang terlibat termasuk Datuk Jalaluddin Hassan bagi suara watak penjahat, dibawa ke Chennai, India selama tujuh hari untuk proses rakaman suara.
“Dua lagu (Ulagam dan Nerupuda) juga dalam proses pembikinan kepada bahasa Melayu dengan menggunakan muzik ‘minus one’ asli,” kata Abdul Malik kepada agensi berita tempatan Bernama.
Kos pemasaran di Malaysia menelan belanja sebanyak RM2 juta dan filem itu disasarkan mengutip RM50 juta secara keseluruhan apabila ditayangkan di 480 pawagam di seluruh negara tersebut.
Selain Malaysia, filem versi bahasa Melayu itu juga akan ditayangkan di 250 pawagam di Indonesia mulai 29 Julai. Abdul Malik membayangkan filem berkenaan mungkin dapat ditayangkan pada pertengahan Julai.
Kabali, yang mendapat sentuhan pengarah India, Pa Ranjith, pada mulanya dijangka ditayangkan pada 1 Julai ini dalam versi bahasa Tamil, namun ditunda atas beberapa sebab tertentu.
Filem Kabali mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila Rosyam Nor, Norman Hakim dan ‘superstar’ Tamil itu dilaporkan turut berganding dalam cereka tersebut.
Abdul Malik yang juga pemilik syarikat Malik Streams berkata seramai 800 rakyat Malaysia turut menjadi pelakon tambahan dalam filem itu yang dinanti-nantikan peminat Rajinikanth di seluruh dunia.
Selain di India, penggambaran filem itu dijalankan selama 60 hari di Malaysia sehingga mencetuskan ‘demam Rajinikanth’ dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama pada awal tahun ini.
Legenda filem India, Rajinikanth yang juga popular dengan gelaran ‘Superstar‘ oleh peminatnya, adalah antara pelakon yang menerima bayaran termahal di Asia Tenggara selepas Jackie Chan. – Bernama/HAA