EAST RUTHERFORD – Colombia mara ke separuh akhir Copa America pertama mereka sejak tahun 2004 selepas menewaskan Peru 4-2 pada penentuan penalti.
Peru yang mara ke suku akhir selepas mengejutkan Brazil di peringkat kumpulan hasil jaringan kontroversi menggunakan tangan, gagal membolosi gawang Colombia sehingga tamat permainan dan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Berdasarkan format Copa America Centenario, hanya perlawanan final akan mempunyai masa tambahan jika perlawanan terikat selepas 90 minit, perlawanan kalah mati lain ditentukan menerusi sepakan penalti jika tiada pemenang selepas tamat masa permainan sebenar.
Colombia akan bertemu pemenang perlawanan antara Mexico dan Chile yang akan berlangsung di Chicago awal pagi esok.
Pada perlawanan di Stadium MetLife itu, peluang terbaik Colombia muncul pada minit ke-22 menerusi James Rodriguez, tetapi sepakannya terkena tiang dan Carlos Bacca tidak sempat melakukan tindakan susulan.
Di babak kedua, tidak banyak peluang dicipta dengan Peru langsung tidak mempunyai percubaan tepat ke arah gawang Colombia. Dalam penentuan penalti, ketika kedudukan terikat 2-2, Dayro Moreno meletakkan Colombia di depan sebelum David Ospina menyelamatkan sepakan Miguel Trauco.
Sebastian Perez menyempurnakan gol keempat Colombia dan kemenangan menjadi milik mereka selepas sepakan Christian Cueva untuk Peru melepasi palang. – Agensi