KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei mudah melangkah ke final Terbuka Indonesia selepas menewaskan pemain muda tuan rumah, Ihsan Maulana Mustofa 21-9, 21-18 dalam aksi separuh akhir di Stadium Istora Senayan, Jakarta, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 34 tahun itu kini semakin hampir bagi merekodkan gelaran keenam Terbuka Indonesia dengan kali terakhir melakukannya pada 2013.
Pada aksi final esok, dia akan menentang pemenang perlawanan antara pemain Denmark, Jan O Jorgensen dengan Tian Houwei dari China yang akan turun beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.
Jika menjadi juara esok, ia menjadi gelaran keempat buat Chong Wei tahun ini selepas menjuarai Malaysia Masters, Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia. – Berita Harian
