SHAH ALAM – Sekumpulan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, dalam satu operasi di sekitar perairan Selangor dekat sini, Sabtu lepas.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata PATI itu diberkas di atas sebuah bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di kedudukan kira-kira 3 batu nautika dari perairan Morib.
“15 orang berada di atas bot tersebut termasuk tekong dan juga seorang wanita, dan mereka berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun yang ditahan dalam operasi Khas Pagar Laut kira-kira 11.50 malam.
“Pemeriksaan awal mendapati mereka ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain memiliki visa yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek tersebut dibawa ke Jeti Maritim Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata pihaknya akan mempergiat operasi khas tersebut sepanjang musim perayaan Aidilfitri bagi membendung dan membanteras PATI yang menggunakan tekong haram untuk keluar dan masuk ke negara ini menerusi jalan laut.
“Saya ingin menasihati warga Indonesia yang ingin keluar ke Malaysia untuk pulang menyambut Hari Raya agar menggunakan laluan yang sah atau yang telah diwartakan dengan membuat proses dokumentasi di Kedutaan Indonesia atau pejabat Imigresen supaya dapat pulang dengan selamat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan mengetahui kes kecemasan di laut turut diminta menyalurkan maklumat ke talian MERS 999 atau menghubungi pusat operasi Maritim berhampiran. – BERNAMA

