JELEBU – Sempena Aidilfitri tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan mengenal pasti 19 jenis barangan makanan yang akan diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) 2016 yang akan bermula 16 Jun hingga 6 Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata 19 barangan yang terlibat ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan dan daging kerbau import (India).
Selain itu, turut tersenarai ialah telur ayam gred A, B dan C, cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, kubis bulat import (Indonesia dan China), bawang merah kecil (India), bawang besar import, bawang putih (China), ubi kentang import (China), ikan kembung, ikan mabung dan ikan selayang.
“SKHMP ini membuktikan kerajaan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan. Kita sentiasa berusaha mengambil langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan terutamanya bagi menghadapi musim perayaan.
“Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama 21 hari berbanding 17 hari pada tahun lepas dan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran SKHMP 2016 di Pasar Awam, Kuala Klawang dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abu Ubaidah berkata para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan serta perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal.
Beliau berkata peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu, manakala bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.
“Tujuan kita melaksanakan skim ini bukan untuk menyusahkan peniaga, tetapi bagi memastikan rakyat keseluruhannya tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan yang tidak munasabah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Saifulbahri Abdul Kadir berkata pematuhan para peniaga terhadap SKHMP pada tahun-tahun sebelumnya adalah sangat baik.
“Pada saya sangat baik memandangkan ketika skim ini dilaksanakan pada tahun lepas misalnya, kita hanya menerima dua atau tiga aduan sahaja. Keseluruhannya di Negeri Sembilan terkawal,” katanya.
Saifulbahri berkata bagi menjayakan SKHMP ini, dianggarkan kira-kira 3,000 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di seluruh Negeri Sembilan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Ini bagi memastikan pengguna dilindungi daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya. – BERNAMA

