JOHOR BAHRU – Richway International Sdn. Bhd menerusi Legacy Perfume menyasarkan penjualan wangian badan untuk peminat pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebanyak 100,000 botol dalam tempoh setahun ini.
Syarikat yang mengeluarkan wangian badan itu mencapai perjanjian dengan Southern Tigers untuk menghasilkan wangian khas, bagi peminat JDT.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Badrul Aswani Ahmad Shokre berkata wangian yang dikenali sebagai ‘Southern Tigers by Legacy’ itu merupakan jenama wangian eksklusif serta terhad untuk peminat bola sepak JDT.
“Kami menyedari potensi JDT yang mempunyai peminat yang ramai di seluruh negara, oleh itu, kami tampil dengan wangian ini sebagai koleksi dan kenangan kepada peminat,” katanya kepada pemberita ketika pelancaran produk itu di sini hari ini.
Katanya, minyak wangi berharga RM89.00 itu, dikeluarkan dalam dua versi iaitu ‘Born To Rule’ untuk lelaki dan ‘Dangerously Sweet’ bagi wanita.
Mohd Badrul berkata peminat boleh mendapatkan wangian itu daripada 100 ejen jualan yang dilantik di seluruh negara atau di laman Facebook atau Instagram rasmi Southern Tiger Perfume by Legacy. – BERNAMA