SETELAH 20 tahun tidak muncul dengan persembahan berskala besar, kumpulan balada paling popular era-90, Slam bakal beraksi kembali dalam sebuah konsert yang diberi nama ‘Konsert Kurnia Slam’ pada 14 Mei ini.
Konsert yang bakal berlangsung di Star Expo Centre, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur ini pastinya dapat mengimbau kembali nostalgia kegemilangan kumpulan ini sekaligus bagi mengubat kerinduan peminat setia mereka.
Vokalis kumpulan Slam, Zamani berkata, konsert ini merupakan hadiah buat peminat yang selama ini menanti-nantikan kemunculan semula kumpulan tersebut.
“Konsert ini hadiah buat peminat Slam yang telah menyokong kami selama ini. Konsert ini juga istimewa buat Slam kerana ia seperti reunion Slam dan peminat kami.
“Sebelum ini ramai yang ingat Slam dah tak ada. Sebenarnya kami masih bergerak aktif cuma jarang bersama kerana masing-masing mempunyai kerjaya sendiri.
“Dalam durasi hampir dua jam persembahan, Insya-Allah saya akan sampaikan lebih 25 buah lagu popular dengan pembahagian beberapa segmen termasuk rangkaian lagu-lagu secara medley,” katanya dalam sidang media pengumuman konsert itu di Damansara.
Selain Zamani, kumpulan ini turut dianggotai oleh Shah (gitar), Ajak (gitar), Lily (bass), Eddie (keyboard) dan Man (dram).
Tiket sudah mula dijual di laman web www.ticketpro.com.my ataupun dengan menghubungi talian 03-78807999 pada harga iaitu RM88 (Biasa), RM158 (Silver), RM198 (Gold) dan RM399 (VVIP). – MYNEWSHUB.CC