KUCHING – Tinggal beberapa hari lagi menjelang tarikh pengundian 7 Mei sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 berlangsung di seluruh Sarawak, nampaknya DAP muncul paling gelabah antara semua parti pembangkang.
Waima hanya bertanding 31 kerusi dan itupun bertindih lebih sedozen kerusi dengan PKR serta bekas sekutunya PAS, kempen perang saraf DAP pada hari-hari terakhir sebelum pengundian menggambarkan kerisauan mereka.
Untuk rekod, PKR bertanding 40 kerusi dan calonnya iaitu Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian disebut-sebut bakal ketua menteri yang pertama bukan daripada Barisan Nasional (BN) pun tidak gelabah panik macam dirasai DAP.
Walhal semua tahu, PKR bukanlah kuat mana pun kerana hanya menang tiga kerusi ketika PRN ke-10 pada 2011 lalu berbanding DAP yang mengejutkan banyak pihak apabila menang besar 12 daripada 15 kerusi ditandinginya.
Untuk rekod, pada PRN 2011, PKR bertanding di 49 kerusi manakala PAS hanya lima kerusi. Untuk PRN 2016 pula, jumlah kerusi ditandingi PKR kurang sembilan manakala sekutu baharunya, PAN mendapat 13 kerusi.
Bekas sekutunya, PAS hanya sanggup letak calon di 11 kerusi. Sekadar makluman, PKR sepatutnya ada di 42 kerusi namun dua calonnya masing-masing di Bukit Sari dan Bukit Kota memberi ‘kemenangan percuma’ kepada BN.

Malangnya ketika PKR, PAN dan PAS boleh tenang macam tiada apa-apa berlaku, DAP sebaliknya cemas apabila dilaporkan bakal hilang tiga kerusi dalam bandar selain diramal tewas semua kerusi ditandinginya di luar bandar.
Sekadar makluman DAP meletakkan 14 calon kaum Cina di kerusi bandar yang majoriti pengundinya Cina dan mencipta sejarah tersendiri menamakan anak emasnya, Abdul Aziz Isa Maridon, di kerusi Batu Kitang dekat sini.
Kerusi baharu itu asalnya daripada kerusi Kota Sentosa, kubu kuat DAP yang disandang dan ditandingi Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sebelum dipisahkan susulan proses persempadanan semula pada tahun lalu.
Kebetulan Abdul Aziz Isa ialah pembantu khas beliau dan langkah DAP meletakkan satu-satunya calon anak muda Melayu di kawasan majoriti Cina mudah difahami iaitu mahu menonjolkan DAP sebagai parti berbilang kaum.
Bayangkan, jika Abdul Aziz Isa bertanding di kawasan Melayu atau bumiputera, peluangnya bukan sahaja tipis, malah mungkin langsung ‘berkubur’ ekoran latar belakang dan amalan agamanya yang dikatakan bebas liberal.
Justeru, peranan Abdul Aziz lebih sebagai boneka DAP kerana parti berasal dari Semenanjung itu turut ada 16 calon Dayak untuk bertanding di kerusi majoriti bumiputera yang diramal bakal tewas teruk kepada wakil BN.

Itu hanya jangkaan dan terbaharu sehingga menjadi bahan perbualan panas dalam kalangan penduduk Sarawak sendiri ialah kemungkinan besar DAP hanya mampu mengekalkan sembilan kerusi dan hilang tiga kerusi bandar.
Ini melibatkan Batu Kawa, Pujut dan Dudong manakala paling mengejutkan apabila penganalisis meramalkan Abdul Aziz Isa yang bertindih dengan PKR di Batu Kitang dijangka tewas kepada calon sekutunya itu sendiri.
Pada masa sama, PKR disebut akan menang besar di tiga kerusi sedia ada mereka iaitu Krian, Batu Lintang dan Ba’Kelalan. Atas kertas, DAP pula hanya mampu mengekalkan kemenangan selesa di sembilan kerusi sekarang.
Selain Kota Sentosa yang diwakili Chieng Jen, DAP bakal meneruskan status quo mereka di Padungan, Pending, Jepok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan, Kidurong dan Piasau. Sekali lagi disebut ini hanya ramalan semata-mata.
Ia berdasarkan andaian kasar sementelahan proses persempadanan semula yang dimuktamad dan diwartakan tahun lalu menyaksikan Sarawak menerima tambahan 11 kerusi baharu menjadikan keseluruhannya 82 kerusi.
Justeru, sama ada BN mampu lakar kejayaan besar dengan menang 69 kerusi atau pembangkang cipta kejutan hebat pada PRN kali ini, segala-galanya bakal dijawab secara rasmi pada lewat 7 Mei. – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK

