PESAWAT EgyptAir yang terhempas di Laut Mediterranean ketika penerbangan dari Paris ke Kaherah dengan 66 penumpang dan anak kapal semalam mungkin disebabkan angkara pengganas, kata pihak berkuasa Mesir dan Rusia.
Penerbangan 804, iaitu pesawat Airbus A320 dengan 56 penumpang dan 10 anak kapal, terhempas kira-kira separuh perjalanan antara Pulau Crete Greece dan pantai Mesir atau 282 kilometer dari pesisir selepas berlepas dari lapangan terbang Charles de Gaulle.
Menteri Pertahanan Greece Panos Kammenos berkata pesawat itu berputar dan tiba-tiba hilang altitud sebelum hilang daripada skrin radar pada 2.45 pagi waktu Kaherah.
Katanya, pesawat itu membelok ke kiri sebanyak 90 darjah dan kemudian bertukar arah 360 darjah ke sebelah kanan, menjunam daripada ketinggian 11,582 meter ke 4,572 meter dan hilang pada ketinggian 3,048 meter.
Menurut laporan Berita Harian yang memetik sumber AP berkata, tiada laporan keadaan cuaca buruk ketika kejadian.
Katanya, pihak berkuasa Mesir dan Greece mengerahkan kapal dan pesawat mencari di kawasan dipercayai lokasi nahas sepanjang semalam dengan lebih banyak bantuan daripada Amerika Syarikat, Britain dan Perancis akan tiba.
Sehingga malam tadi, mereka masih gagal menemui sebarang serpihan yang disahkan dan menolak laporan penemuan jaket keselamatan dan bahan terapung lain.
Dalam pada itu, Menteri Penerbangan Awam Mesir Sherif Fathi dipetik sebagai berkata insiden itu masih disiasat tetapi kemungkinan ia serangan pengganas lebih tinggi berbanding kegagalan teknikal.
“Kebarangkalian berhadapan tindakan berbeza ketika penerbangan, berhadapan dengan serangan penggnas, adalah lebih tinggi berbanding dengan kegagalan teknikal,†katanya.
Manakala Alexander Bortnikov, ketua agensi keselamatan Rusia berkata: “Berdasarkan kemungkinan, ia serangan pengganas.â€Â
Setakat ini, tiada kumpulan militan yang mengaku bertanggungjawab menyebabkan pesawat berkenaan terhempas.-MYNEWSHUB.CC