GEORGETOWN – Mayat seorang lelaki yang terjatuh daripada feri di Jeti Pangkalan Raja Tun Uda di sini semalam, ditemui terapung kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menerima panggilan daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan penemuan mayat Tan Sik Lee, 43, sebelum dibawa ke Pelabuhan Pulau Pinang.
“Mangsa berasal dari Jalan Berapit, Bukit Mertajam dan mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11.25 pagi semalam, lelaki berkenaan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari bahagian atas feri yang hendak berlepas dari Jeti Pangkalan Raja Tun Uda.
Mangsa yang duduk di tempat penumpang bahagian atas feri telah terjatuh dan kejadian itu hanya disedari dua lelaki yang berada di bahagian bawah feri berkenaan. – BERNAMA