KUALA LUMPUR – Dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini terbabit kemalangan selepas bergesel di Km322 di Kuala Kubu Baharu, pukul 1.45 tengah hari tadi  namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Perlanggaran itu membabitkan seramai 510 penumpang yang menggunakan perkhidmatan kedua-dua buah keretapi berkenaan.
Jelas kelihatan pada gambar yang dimuat naik oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) separuh daripada kepala keretapi elektrik ETS remuk akibat perlanggaran kuat tersebut.
Berdasarkan kenyataan menerusi laman Twitter milik KTMB, kegelinciran tren dikatakan menjadi punca kemalangan.
Keadaan itu mamaksa jadual perjalanan komuter antara Rawang-Tanjung Malim ditutup buat sementara waktu.


Manakala laman Twitter rasmi daripada JPBM menyatakan bahawa hanya tiga penumpang mengalami cedera ringan ekoran pertembungan itu manakala penumpang selebihnya dalam keadaan selamat.
Difahamkan juga tren ekspres itu terdiri daripada 13 gerabak bertolak dari Butterworth menghala ke Kuala Lumpur dan ETS pula terdiri enam gerabak dikatakan bertolak dari Kuala Lumpur untuk menghala ke Ipoh.
Hanya tiga daripada 13 buah gerabak yang terjejas dalam insiden dahsyat tersebut.


Beberapa anggota bomba dilihat segera memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat untuk mengelakkan daripda berlakunya kejadian yang tidak diingini. – MYNEWSHUB.CC

