‘JIJIK, kotor dan busuk’… demikian perkataan yang akan kita ucap tatkala membayangkan kawasan pembuangan sampah.
Mesti tidak sesiapa yang mahu tinggal di kawasan seperti itu bukan.
Namun, berbeza pula kepada dua orang kanak-kanak yang berusia kira-kira tujuh dan empat tahun ini apabila menjadikan kawasan pembuangan sampah sebagai tempat tinggal.

Perkara itu dibongkar oleh seorang guru, Mohd Saiful Rizuan yang terkejut apabila menjumpai dua kanak-kanak sedang bermain di sebuah kawasan pembuangan sampah di Pasir Puteh, Kelantan.
Menurut Saiful, ibu bapa kanak-kanak itu juga turut sama tinggal di kawasan berkenaan dan ketika ditemui sedang enak diulit mimpi.
Mereka hanya membiarkan dua anaknya itu bermain di kawasan itu yang bukan sahaja kotor tetapi juga berbahaya.
Apa yang menyedihkan, selain tinggal di kawasan pembuangan sampah itu, si kakak turut bercerita menggunakan air sungai sebagai kegunaan harian.
Malangnya, dalam keadaan cuaca sekarang, air sungai berkenaan telah kering menyebabkan dua beradik itu tidak dapat mandi atau melakukan apa-apa aktiviti lain dengan sempurna.
Gara-gara kedaifan itu juga, dua beradik itu juga langsung tidak mengenali erti ‘sekolah’ sekaligus membuatkan mereka ketinggalan dalam pelajaran.
Perkara paling merisaukan Saiful adalah mengenai tahap keselamatan dua beradik itu.
Dakwa Saiful, tempat itu berada di tepi hutan tebal dan terdapat ura-ura cerita dari orang kampung bahawa bulan lalu seekor harimau berada di kawasan berkenaan.
Oleh itu, Saiful berharap agar ada pihak berkenaan dapat segera tampil membantu dan membela nasib malang keluarga terbabit. – MYNEWSHUB.CC