KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengingatkan semua pihak bahawa kemenangan sesebuah parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini ditentukan oleh Allah S.W.T.
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ahli dan penyokong PAS perlu mengingati perkara tersebut dan mengetahui bahawa segala usaha mereka untuk PAS dalam pilihan raya tersebut dihargai.
“Kemenangan adalah ketentuan dan milik Allah, namun segala usaha untuk mengembangkan serta menyuburkan risalah dakwah di Bumi Kenyalang telah berjaya diletakkan di atas satu tapak yang kukuh dan jelas.
“Ia adalah satu ibadah serta kewajipan di sisi Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
BN mencatatkan kemenangan besar dalam PRN Sarawak kali ini dengan memenangi lebih 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) malah merampas kembali beberapa kerusi yang dikuasai Pakatan Harapan sebelum ini.
Keputusan itu mengundang pelbagai cacian dan penghinaan ke atas rakyat Sarawak oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan yang berang kerana gagal merampas kuasa di negeri itu. – MYNEWSHUB.CC

