APABILA kita berfikir tentang senarai manusia terkaya di dunia, tokoh-tokoh hartawan ternama dari Barat seperti Bill Gates, Warren Buffet dan John D. Rockerfeller pasti terbit di minda.
Namun, tahukah anda, bahawa manusia terkaya dalam sejarah peradaban manusia sebenarnya bukanlah berketurunan Barat, tetapi seorang lelaki Islam daripada bumi Afrika!
Memperkenalkan, Mansa Musa Keita I — raja pemerintah Empayar Mali yang tidak diketahui ramai tentang kewujudannya dan mendapatkan sebahagian besar kekayaan daripada industri perdagangan emas pesat di benua itu.
Emas merupakan komoditi utama kesemua jajahan takluk Mansa ketika itu dan baginda mampu memenuhi permintaan pasaran dunia terhadap logam berharga tersebut.
Menurut penulis majalah TIME, Jacob Davidson, nilai kekayaan Mansa tidak boleh ditafsirkan dengan perkataan kerana: “Tiada cara yang tepat untuk menyifatkan nilai kekayaannya.”
Walaupun anggaran kekayaannya telah disesuaikan mengikut kadar inflasi semasa, Mansa masih kekal tersenarai di tangga pertama sebagai lelaki terkaya dalam sejarah.
Baginda memiliki harta bernilai AS$400 bilion dan mengatasi nilai Carlos Slim iaitu lelaki terkaya di dunia hari ini dari Mexico yang ‘hanya’ mempunyai kekayaan berjumlah AS$68 bilion.
Mansa memulakan pemerintahannya pada tahun 1312 di kala bumi Eropah sedang melalui era peperangan yang mengakibatkan rakyatnya menderita, manakala kerajaan Afrika tersebut pula berkembang pesat ketika itu.
Semasa berkuasa sebagai raja, Mansa telah mengilhamkan pewujudan bandar raya Timbuktu dan mengembalikan kuasanya terhadap Gao, menjadikan empayarnya berkembang seluas 2,000 batu persegi.
Sekadar memberikan perspektif yang lebih jelas, empayar Mansa merangkumi kesemua 24 (atau sebahagian daripada) buah negara Afrika yang masih wujud sehingga kini seperti Mauritania, Senegal, Gambia, Guinea, Burkina Faso, Mali, Niger, Nigeria dan Chad.
Berita kekayaan Mansa tersebar ketika baginda dalam perjalanan sejauh 4,000 batu untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah (kini di bawah pentadbiran kerajaan Arab Saudi).
Rombongan baginda disertai beribu-ribu buah kereta kuda, puluhan ribu askar, orang awam serta hamba abdi, 500 orang bentara yang ditugaskan untuk bawa emas tulen serta beratus-ratus ekor unta dan kuda yang mengangkut jongkong emas.
Malah, Mansa terlalu kaya sehinggakan semasa persinggahannya di Kaherah, baginda telah membeli terlalu banyak emas dan menyedekahkan jumlah wang yang terlalu banyak kepada fakir miskin sehingga berlakunya inflasi besar-besaran di bandar tersebut!
Krisis kewangan mendadak itu hanya mampu distabilkan beberapa tahun selepas kejadian itu.
Menurut professor madya dalam bidang sejarah di Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Rudolph Ware, kemewahan yang dimiliki oleh Mansa sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Terdapat beberapa lukisan yang menunjukkan baginda sedang duduk di atas takhta yang diperbuat daripada emas sambil memegang cokmar emas tulen dan memakai mahkota emas di atas kepalanya.
“Bayangkan jumlah emas yang boleh dimiliki oleh seseorang individu, kemudian gandakan jumlah itu sekali lagi, itulah yang cuba kami rungkaikan dengan ayat namun masih belum mampu.”
Jika sampai begitu sekali susahnya orang lain untuk menyebut jumlah kekayaan anda, maka tahap kekayaan anda memang benar-benar tidak masuk akal!
Bagaimanapun, kekayaan bersifat kebendaan bukanlah segala-galanya bagi raja itu.
Sebagai seorang penganut agama Islam yang warak, Mansa begitu tertarik dengan wilayah Timbuktu dan telah membina banyak pusat pendidikan dan masjid, seperti Masjid Djinguereber — legasi pemerintaan Mansa Musa Keita I yang masih wujud sehingga hari ini. - MYNEWSHUB.CC
Oleh: SARA KHALID