PELANTUN lagu Percayalah, Indah Ruhaila, mengakui fobia dan berasa bimbang setiap kali diajukan soalan berkaitan usianya.
Menurut Indah kepada sebuah portal, pertanyaan seumpama itu menyebabkan dirinya berasa tua.
Namun penampilan berimej rambut pendek telah sedikit sebanyak merubah persepsi itu kepadanya apabila kelihatan lebih muda berbanding usianya.

“Tapi saya rasa lucu pula sebab semenjak saya berambut pendek ni, ramai yang kata saya nampak lebih muda. Tapi cuma muda dua tahun saja lah…,” tuturnya.
Penyanyi yang berusia 29 tahun ini beranggapan mampukah dia mencapai segala yang dihajati dalam karier nyanyiannya kerana usia sudah menghampiri ‘3 series‘ dan masih lagi belum mendirikan rumah tangga.
“Ala, umur saya sudah 29 tahun. Sebenarnya kalau setiap kali orang tanya umur saya, seperti mengingatkan yang saya ni semakin tua dan mulalah saya fikirkan tentang di usia sebegini saya belum lagi berkahwin.
“Saya fikir tentang kerjaya dan adakah diusia yang sudah hampir ‘3 series‘ ni saya mampu untuk mencapai kejayaan dan semua impian dan apa yang saya mahu dalam dalam karier nyanyian saya,” luahnya.

Pemilik nama Siti Ruhailah Hussin sebenarnya sudah berpunya dan hampir tiga tahun mengikat tali pertunangan.
Namun kerana masing-masing terlalu sibuk, Indah dan bakal suami belum berkesempatan untuk memutuskan tarikh untuk diarak ke jinjang pelamin tetapi telah merancang untuk melangsungkannya tahun hadapan.
“Insya Allah kami merancang mahu melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, perkembangan terbaru Indah ialah dia bakal muncul dengan single ketiga berjudul Semua Untuk Cinta, ciptaan Heal Hussain. – MYNEWSHUB.CC