PASIR SALAK – Barisan Nasional (BN) telah menyusun strategi kempen yang teratur dalam usaha memenangi hati dan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata selain pendekatan bersemuka menerusi siri ceramah, gerak kerja jentera BN akan menggunakan strategi kempen dari rumah ke rumah, serta mengenal pasti pengundi Kuala Kangsar yang berada di luar supaya pulang mengundi pada PRK berkenaan.
“BN optimis mampu meraih majoriti 4,000 undi dan kita akan bekerja habis-habisan untuk membantu calon BN supaya meraih kemenangan lebih besar kali ini.
“UMNO Bahagian Pasir Salak sendiri akan menghantar 100 anggota BN terdiri daripada pemimpin UMNO Bahagian dan pemimpin parti komponen yang akan bertugas sepanjang kempen PRK itu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Peningkatan Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata semua perkara dibangkitkan pembangkang akan diperjelaskan secara terperinci kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan dakyah kumpulan itu.
Selain itu, Tajuddin berkata BN juga akan mendekati pengundi dengan mengenal pasti isu-isu tempatan yang masih tidak diselesaikan sehingga kini.
“Kita akan cuba menyelesaikan masalah-masalah yang ada supaya dapat memuaskan hati pengundi,” katanya.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun. – BERNAMA