INI betul-betul sudah macam drama televisyen yang membawa kepada babak berbelit-belit sehingga memakan banyak episod dan bukannya terus kepada sasaran atau seperti kata popular mat saleh iaitu straight to the point.
Ingat balik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah berkata bahawa parti itu sudah muktamad akan bertanding kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.
Malah PAS mendakwa mereka tidak berunding dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan untuk menarik diri konon bagi memberi laluan kepada pembangkang bersaing satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).
Itu kata Abdul Hadi namun anehnya pagi Jumaat pula, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa konon beliau ada berunding sendiri dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bukan beliau sahaja, Menteri Besar Selangor itu mendakwa telah berbincang dengan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustapha Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai isu PRK tersebut.
Lebih dahsyat pertemuan secara rahsia itu berlangsung dua kali sekali gus menepis dakwaan Abdul Hadi konon PAS langsung tidak mengadakan apa-apa rundingan tawar-menawar untuk beralah calon pada dua PRK berkenaan.
“Kadang-kadang saya berasa ‘simpati’ dengan keadaan Ustaz Hadi ini, mungkin dia tidak tahu apa yang berlaku dalam partinya sendiri,†kata Mohamed Azmin kepada wartawan selepas satu majlis rasmi di Sungai Besar hari ini.
“Saya bertemu Timbalan Presiden PAS, saya bertemu dengan Pengarah Pilihan Raya PAS, saya bertemu dengan setiausaha politik Ustaz Hadi, jadi saya percaya pimpinan tertinggi ini akan melaporkan kepada presiden,” katanya.
Menurut Mohamed Azmin, rundingan masih berjalan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada PRK itu bahkan beliau mengakui, sedia bertemu dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin tertinggi PAS.
Pengakuan terbuka tokoh PKR itu bukan sahaja mengejutkan pelbagai pihak, malah memberi tamparan kuat kepada Abdul Hadi yang cukup lantang mempertahankan pendirian PAS enggan berkompromi dalam isu PRK tersebut.
Sementara itu, Mustapha menerusi kenyataan ringkas di laman web Harakahdaily meminta semua ahli PAS agar terus fokus dalam gerak kerja untuk dua PRK berlangsung ketika umat Islam menjalani ibadah puasa Ramadan.
Katanya PAS akan tetap bertanding di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai mana dirancang memandangkan ia merupakan kawasan tradisi parti itu sejak sekian lama termasuk ketika pilihan raya umum lalu.
Mustapha mendakwa, tidak berbangkit soal tiga Exco Kerajaan Negeri Selangor dari PAS diarah untuk meletak jawatan atau dipecat jika PAS berkeras meletakkan calon di dua PRK berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA