MARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperluas kaedah pemantauan dengan melibatkan rondaan dari udara bagi membendung ancaman pencerobohan nelayan asing.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata tindakan nelayan asing bukan sahaja merampas hasil perairan negara tetapi juga menjejaskan rezeki nelayan tempatan.
“Di Wilayah Timur sahaja sebanyak 23 kes telah dicatatkan dan 22 kes melibatkan kesalahan yang dilakukan nelayan Vietnam dan satu kes melibatkan nelayan Thailand.
“Selain pencerobohan asing kita juga memandang serius kesalahan bot tempatan yang melanggar kawasan, melabuhkan pukat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun pihaknya mempunyai beberapa kekangan termasuk kekurangan aset, kawalan akan terus dipertingkatkan.
“Kita menjangkakan mendapat pertambahan melibatkan enam kapal termasuk tiga kapal peronda luar pesisir (OPV),” katanya.
Jelasnya dari tempoh Januari hingga April tahun ini sebanyak 50 kes pencerobohan nelayan asing telah direkodkan di seluruh negara dan seramai 356 nelayan diberkas.
Sementara itu, pihaknya juga masih memantau dan mengawasi bot nelayan China yang dikesan menceroboh perairan negara di Miri, Sarawak baru-baru ini.
“Walaupun mereka telah beredar dan melarikan diri, pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan di kawasan terbabit,” katanya. – BERNAMA