SERDANG – Lebih 1,800 harta intelek (IP) yang mencakupi pelbagai teknologi dan kemudahan dihasilkan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam tempoh 15 tahun.
Pengarah Putra Science Park UPM, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan, berkata daripada jumlah, lebih 1,800 IP berjaya melepasi kriteria dan sistem perakuan untuk dipatenkan.
Katanya, kemajuan ditempa UPM dalam penyelidikan turut diterjemahkan menerusi kadar pengkomersialan, iaitu membabitkan 109 daripada 1,800 teknologi untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa dan tempatan.
“Kadar penembusan pasaran oleh teknologi dihasilkan penyelidik UPM adalah antara 20 hingga 30 peratus, sekali gus membuktikan ia melangkaui sasaran pencapaian antarabangsa.

“Setakat ini, kita memperoleh kerjasama menggalakkan daripada penggerak industri kerana lebih 30 teknologi berjaya dilesenkan menerusi perjanjian usaha sama yang ditandatangani kedua-dua pihak setakat tahun lalu.
“Ia adalah lonjakan pencapaian hasil transformasi pendekatan penyelidik yang ketika ini lebih cenderung dalam penghasilan teknologi baharu, berbanding konvensional,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Inovasi UPM, di sini, sebentar tadi. – Berita Harian

