SHAH ALAM – Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang didalangi warga Indonesia tumpas selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Banting, Rabu lepas.
Komander Briged Tengah PGA, Datuk Mohd Rodzi Ismail berkata dalam serbuan pukul 11.15 malam itu, pasukannya merampas 4.1 kilogram syabu bernilai RM656,000 yang disembunyikan dalam sebuah kotak kayu di rumah berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai.
“Kami percaya dadah itu adalah untuk pasaran tempatan dan juga negara jiran. Kumpulan ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, keempat-empat lelaki Indonesia yang ditahan berusia lingkungan 28 hingga 37 tahun dan hasil siasatan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen diri serta dokumen perjalanan yang sah.
Mohd Rodzi berkata pihaknya kini sedang mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan.
“Semua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sejak Januari sehingga Mac lepas, PGA Briged Tengah telah berjaya menahan lebih 350 pendatang asing tanpa izin (PATI). – BERNAMA

