BUTTERWORTH – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy berhubung kenyataan dalam Facebooknya terhadap pendakwah, Dr. Zakir Naik.
Kesemua lapan laporan polis oleh Perkasa Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam serta Persatuan Anak Melayu Permatang Pauh dan Persatuan Kebajikan Parong Sari Pulau Pinang itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, dekat sini.
Pengerusi Perkasa Parlimen Permatang Pauh, Mohamed Hifni Mohd Baharuddin berkata mereka meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan itu yang disifatkan boleh menggugat kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
“Sebagai orang yang mempunyai kedudukan dan berpengaruh, Ramasamy sepatutnya tidak boleh mencampuri hal ehwal agama Islam dengan menghina agama dan institusi Islam keseluruhannya kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
“Dengan membuat laporan polis ini, saya harap polis akan menjalankan siasatan terperinci ke atas Ramasamy di atas keceluparan beliau memfitnah tokoh ilmuan Islam yang disegani itu dengan gelaran yang tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.
Ramasamy sebelum ini mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebooknya dengan menggelar Zakir sebagai ‘syaitan’ dan menggesa penceramah itu dihantar pulang ke India daripada meneruskan sesi ceramahnya di Malaysia.
Bagaimanapun, Ramasamy dalam kenyataan media hari ini berkata perkataan ‘syaitan’ yang dimuat naik dalam statusnya pada Ahad telah dipadam pada hari sama. – BERNAMA