KUALA LUMPUR – “Pemergian adik merupakan tamparan hebat buat kami sekeluarga,” kata Muhammad Azman Tahir.
Abang sulung kepada Allahyarham Mohamad Azfar yang merupakan antara tiga mangsa yang lemas di kawasan air terjun Cunca Wulang, Flores, Indonesia, Sabtu lepas, berkata keluarga mereka sememangnya terkejut dengan insiden membabitkan adik bongsunya itu.
“Sepatutnya, mereka (adik dan rakannya) balik semalam, namun terkilan dengan keadaan adik yang balik dengan cara begini….apa pun kami reda dengan pemergiannya,” kata Muhammad Azman, 44, yang tidak menyangka percutian adiknya bersama rakan di Indonesia sejak 11 April lepas berakhir dengan tragedi.
Menyifatkan adik bongsunya itu sebagai seorang yang periang dan mempunyai ramai kenalan, Muhammad Azman berkata sebelum berlepas ke negara jiran tersebut, Allahyarham amat teruja untuk mengikuti percutian yang dirancang bersama rakannya.
“Sebelum ini, kami sekeluarga selalu bercuti bersama, tetapi kali ini adik terlalu gembira untuk menghabiskan cutinya kali pertama bersama rakan sekolahnya dahulu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di Kampung Padang Balang, Sentul, di sini hari ini.
Beliau berkata Allahyarham Mohamad Azfar, 23, yang tinggal bersama keluarga sangat rapat dengan ibu dan kakaknya.
“Ibu saya paling terkejut apabila mendapat perkhabaran insiden yang menimpa adik pada Sabtu lepas,” katanya.
Menyentuh keakraban adiknya dan Allahyarham Mohamad Ezzaq Azraf Azumi, 23, yang turut terkorban dalam tragedi itu, Muhammad Azman berkata kedua-duanya merupakan sahabat karib sejak dari sekolah rendah lagi.
Pada Sabtu lepas, kedua-dua mangsa lemas ketika mandi di kawasan air terjun itu bersama pemandu pelancong, Wenseslaus Hendro Akung, yang cuba menyelamatkan mereka.
Muhammad Azman berkata Allahyarham Mohamad Azfar baru bekerja di sebuah syarikat swasta sejak setahun lalu selepas menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kuantan.
Jenazah Mohamad Azfar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak pada 11 malam tadi.
Jenazah Mohamad Azfar dan jenazah rakannya Mohamad Ezzaq Azraf Azumi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pukul 7.05 malam tadi.- BERNAMA