LONDON – Ratu Elizabeth II menyambut ulang tahunnya ke-90 pada 21 April, namun tidak ramai tahu bahawa kek hari lahirnya itu dibuat sendiri oleh seorang wanita Muslim tempatan, Nadiya Hussain, baharu berusia 31 tahun.
Nadiya ialah pemenang Muslim pertama bagi pertandingan masakan berprestij ‘Great British Bake Off‘ semasa musim keenam kejohanan kebangsaan tersebut pada tahun 2015 lalu, menurut akhbar terkenal, The Daily Mail.
Muslimah ini pertama kali mendedahkan beliau akan membuat kek hari lahir untuk baginda Ratu Elizabeth II pada 15 April lalu menerusi rancangan bual bicara televisyen popular, Loose Women di stesen swasta ITV.
Nadiya memberitahu panel rancangan tersebut bahawa beliau begitu teruja apabila menerima kiriman e-mel yang mengundang dirinya membuat kek tersebut dan menghantarnya sendiri kepada Ratu Elizabeth II secara peribadi.
Malah beliau terlalu gementar sehingga dikatakan tidak sanggup hendak memandang ketuhar di dapur rumahnya kerana ia mungkin mengingatkannya kepada undangan istimewa yang diterima, lapor akhbar tersebut lagi.
Ternyata, melalui catatan-catatan Nadiya di laman sosial Twitternya kebelakangan ini, beliau begitu ghairah. Agak melucukan apabila beliau tidak dapat melelapkan mata memikirkan tentang kek dan pertemuan dengan baginda.
Malah beliau mengalami dilema hendak memilih kasut! Meskipun tradisi kek hari lahir Ratu Elizabeth II adalah kek buah-buahan atau ‘fruitcake’, Nadiya membuat satu kelainan dengan menghasilkan kek berasaskan limau.
“Saya dapat inspirasi daripada gaya moden dikenakan baginda, yang menggunakan warna-warna terang dan saya menghasilkan sesuatu berbeza, baik di dalam ataupun di bahagian luar kek,” Nadiya memberitahu laman ABC.
Catatan Twitter Nadiya sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) pada 21 April, menyatakan bahawa kek yang dihasilkannya sedang dalam perjalanan untuk dipersembahkan kepada Ratu Great Britain itu di Istana Windsor.
Sekitar pukul 8.45 malam Khamis, laman Twitter rasmi milik British Monarchy memuat naik sebuah video yang menunjukkan Ratu Elizabeth II sedang tersenyum ketika memotong kek istimewa wanita Muslimah tersebut.
Tahun lalu, Nadiya berjaya menawan hati ramai penonton dan pengadil melalui kehandalannya membuat pelbagai kek di sebalik beliau juga mendedahkan kebimbangannya sama ada akan disingkirkan kerana dirinya “berhijab”.
Salah seorang pengadil pertandingan Great British Bake Off‘, Mary Berry menyifatkan ‘air tangan’ Nadiya, yang juga ibu kepada tiga orang anak itu, sebagai “menakjubkan… amat sempurna!” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA