SEATTLE – Satu rakaman video yang menunjukkan seorang bayi di Amerika Syarikat tersenyum lebar setelah berjaya melihat ibunya dengan jelas buat kali pertama, menjadi viral menerusi laman online di negara itu.
Video amatur itu menunjukkan bagaimana ibu kepada bayi berusia empat bulan tersebut mula memakaikan anaknya sepasang kaca mata di kediaman mereka di Woodinville, Washington State dekat sini baru-baru ini.
Bayi tersebut, Leopold Wilbur Reppond, mengalami masalah penglihatan teruk sejak dilahirkan lagi akibat masalah yang dirujuk sebagai oculocutaneous albinism, menurut laporan portal berita Huffington Post.
Leopold pada awalnya tampak agak keliru setelah dipakaikan dengan kaca mata tersebut. Namun setelah beberapa saat, bayi itu mula mendongak ke arah ibunya, Erin, dan kelihatan tersenyum riang dengan begitu comel.
Bayi berkenaan juga tampak cukup ghairah dan teruja apabila dia dapat menyaksikan dunia persekitarannya dengan jelas lagi terang nyata buat julung-julung kalinya dalam kehidupannya, menurut Huffington Post.
Video tersebut dilaporkan berjaya dirakamkan sendiri oleh bapa Leopold, David, yang turut sebak terharu sehingga dia pun menitiskan air mata sebelum ia kemudian dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya.
“Leopold seorang bayi yang ceria, dan senyum selalu, namun senyuman yang dilemparkannya ketika itu, sesuatu yang bagi saya, amat istimewa,” luah ibu Leopold, Erin kepada stesen penyiaran tempatan ABC News.
Seorang daripada setiap 20,000 orang di seluruh dunia dikesan mengalami masalah oculocutaneous albinism, menurut Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat dengan kebanyakan pesakit adalah golongan lelaki.