STOCKHOLM – Gergasi perabot antarabangsa tersohor dari Sweden, IKEA, terpaksa menarik balik mantel atau baju berbentuk kelawar ala kostum adiwira popular Batman yang dijual di cawangannya di seluruh dunia.
Ini termasuk juga di Malaysia, setelah syarikat tersebut menerima aduan tentang kes kanak-kanak yang cedera akibat bucu kain agak tajam setelah ia dilibas secara tidak sengaja menggunakan mantel unik berkenaan.
Setakat ini tiga kanak-kanak disahkan pernah mengalami kesan calar serius di bahagian leher sewaktu mereka cuba menggunakan mantel kelawar LATTJO yang baharu dibeli dari beberapa buah gedung jualan IKEA.
Mantel unik tersebut juga didapati tidak mudah ditanggalkan dengan masa pantas daripada bahagian leher mereka sendiri, menurut IKEA dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini pada 6 April.
Meskipun tiga mangsa itu tidak memerlukan rawatan lanjut, IKEA tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan segera menarik balik produk tersebut, disebabkan terdapat risiko tercekik atau cedera di bahagian leher.
“Di IKEA, kami memandang serius keselamatan kanak-kanak dan kami sama sekali tidak mahu melihat ada cedera semasa mereka sedang bermain,” kata Pengurus Perniagaan Seksyen Kanak-Kanak IKEA, Cindy Andersen.

“Insiden ini menunjukkan kepada kami bahawa kami perlu melakarkan syarat-syarat yang lebih jelas berhubung tali pengikat sedemikian,” ujar beliau mengulas insiden malang dialami oleh mangsa mereka sendiri.
Andersen menambah, IKEA juga akan memperbaiki produk-produk bagi kanak-kanak pada masa akan datang dengan menetapkan syarat-syarat baharu yang lebih ketat demi keselamatan dan kepuasan pelanggan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan lebih banyak perincian tentang syarat-syarat tersebut. Mantel kelawar LATTJO telah dijual di ratusan buah gedung IKEA seluruh dunia sejak bulan November tahun lalu lagi.
IKEA menggesa semua pelanggan yang sudahpun membeli produk itu supaya berhenti menggunakannya dengan serta merta dan memulangkan produk itu di mana-mana cawangan IKEA bagi mendapatkan bayaran balik.
Serentak dengan keputusan drastik tersebut, semua produk yang terjejas ujar Andersen sudah pun dikeluarkan daripada rak-rak pameran dan jualan IKEA. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
