KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) membuat laporan polis ke atas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Biro Komunikasi dan Media Aswaja dalam satu kenyataan media memberitahu, laporan polis itu dibuat kerana fitnah yang dilontarkan oleh Mufti Perlis kerana menyamakan Aswaja dengan Hindu Rights Action Force (HINDRAF).
“Laporan polis juga dibuat kerana fitnah jahat Asri terhadap Aswaja melalui laman Facebooknya yang mendakwa Aswaja membantah kehadiran Dr. Zakir Naik ke Malaysia.
“Walhal tuduhan itu tidak benar sama sekali. Ia sengaja dibuat Asri bertujuan untuk menimbulkan kemarahan umat Islam terhadap Aswaja,” kata kenyataan itu hari ini.
Aswaja berkata, pertubuhan itu memandang serius perkara berkenaan kerana ia bersifat fitnah yang merosakkan nama baik Aswaja sedangkan pertubuhan itu tidak pernah mencampuri urusan ceramah Dr. Zakir ke Malaysia apatah lagi membantah kehadirannya.
“Fitnah yang dibuat Asri di Facebooknya juga mengakibatkan Presiden Aswaja, Ustaz Zamihan Mat Zin menerima ugutan daripada pengguna Facebook yang boleh mengancam keselamatan beliau,” kata Aswaja.
Menurut Aswaja, laporan polis itu adalah tindakan awal Aswaja terhadap fitnah Mufti Perlis dan akan disusuli dengan tindakan mahkamah demi menuntut keadilan.
“Sebenarnya, ini bukan kali pertama Asri memfitnah Ustaz Zamihan dan Aswaja. Namun, kali ini kami merasakan tidak boleh lagi berdiam diri apabila kenyataannya itu turut berbaur hasutan dan ancaman keselamatan,” tegas Aswaja. – MYNEWSHUB.CC