KUALA LUMPUR – Gedung IKEA Malaysia yang ketiga di negara ini bakal dibuka di Tebrau, Johor Bahru, pada akhir 2017 sebagai sebahagian daripada pelan pengembangannya di Asia Tenggara dan Malaysia, khususnya.
Pada masa ini, IKEA sudah mempunyai dua buah gedung, iaitu di Cheras dan Damansara serta ada perancangan untuk membuka sebuah lagi di Pulau Pinang, yang menjadikan jumlah keseluruhannya kepada empat.
Syarikat dari Sweden itu turut mempunyai gedung di Singapura dan Thailand.
“Gedung ini (Johor) merupakan sebahagian daripada hasrat kami untuk berkembang di Asia Tenggara dan komitmen untuk menyediakan lebih banyak rekaan kelengkapan rumah dari Sweden yang mampu dimiliki kepada rakyat Malaysia,” kata Pengarah Runcit, IKEA Malaysia, Mike King dalam kenyataan.
Bagi memulakan perniagaan di Johor, pihak IKEA telah memulakan fasa pertama pengambilan untuk lebih 50 jawatan, termasuk kumpulan pengurusan gedung tersebut.
Ia termasuk jawatan sebagai pengurus gedung, pengurus dan penolong pengurus jualan, komunikasi dan reka bentuk dalaman, sumber manusia, restoran serta jabatan logistik.
Mereka yang ingin memohon atau mengetahui lebih lanjut mengenai peluang pekerjaan yang terdapat di gedung IKEA yang baharu di cawangan Johor Bahru, sila layari IKEA.my/jobs. – BERNAMA