BERIKUTAN tersebarnya video viral ‘serangan ganas’ pelanggan tudung Fareeda baru-baru ini, pelakon Fizo Omar dan isterinya, Mawar yang merupakan pengusaha jenama tudung tersebut teruk dihentam netizen.
BACA: Aksi Mawar Fareeda Ketika Pelanggan Berebut Undang Kritikan
Sementara itu, Fizo yang kini berada di Shanghai, China memberitahu, akan membuat kenyataan berhubung ‘insiden’ tersebut setelah pulang ke tanah air tidak lama lagi.
Jelas pelakon dan pengacara terkenal ini, dia dan isterinya perlu berbincang sebelum membuat sebarang ulasan.

“Saya akan memberikan kenyataan balas berkaitan isu ini apabila balik ke Malaysia. Apapun ia membabitkan pihak Fareeda dan isteri saya sendiri, jadi kami kena berbincang dulu. Setakat ini saya belum mengeluarkan sebarang kenyataan, termasuk di laman sosial.
“Insya-Allah, saya rasa ada jalan penyelesaian untuk perkara berbangkit ini. Mungkin ia terus menjadi viral kerana ada pihak yang pantas masuk campur sekalipun tak tahu perkara sebenar yang terjadi,” katanya kepada BH Online menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam pada itu, pemilik restoran FizoMawar ini menganggap isu dikecam dan dikritik dalam dunia perniagaan adalah lumrah.
Pasangan ini dijangka akan pulang ke tanah air hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 16 saat yang memaparkan pelanggan sanggup bersesak mendapatkan nombor giliran bagi pembelian koleksi baharu tudung Fareeda, Sweet Love telah menjadi viral selepas dikongsi oleh Fizo dalam laman sosialnya.
BACA: Sebab Utama Kenapa Tudung Fareeda Jadi Kegilaan Ramai
Video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan teknik promosi tudung tersebut sebagai gimik murahan dan tidak menjaga batas agama kerana membenarkan perempuan dan lelaki berhimpit-himpit. – MYNEWSHUB.CC