Aktres Zoe Saldana menerima kecaman penduduk kulit hitam di Amerika Syarikat selepas dia mengenakan solekan tebal untuk menggelapkan wajahnya dan menggunakan hidung palsu, dalam filem terbarunya berjudul `Nina’.
Filem biopic itu adalah berkisar mengenai kehidupan penyanyi lagenda dan aktivis kulit hitam, Nina Simone.
Disebabkan kulit Saldana lebih cerah, maka dia terpaksa disolek agar kelihatan lebih gelap dan memakai hidung palsu, untuk kelihatan seperti Simone.

Keadaan ini menyebabkan peminat Simone mengecam Saldana yang disifatkan sebagai tidak menghormati lagenda berkenaan.
Malah keluarga Simone juga telah menulis tweet membidas Saldana dan menyuruhnya `pergi mampus’.
Saldana menjalani uji bakat untuk filem berkenaan pada 2012 dan selepas bertahun-tahun tertangguh, akhirnya filem berkenaan akan diterbitkan pada April ini.
Memandangkan ramai pelakon kulit hitam yang menjalani uji bakat yang dijalankan oleh Cynthia Mort untuk filem berkenaan, mereka berpendapat sepatutnya artis kulit hitam lain yang lebih sesuai dipilih memegang watak berkenaan, bukannya Saldana.
Tahun lepas, Saldana dalam satu temubual mengakui bahawa dia mungkin merupakan wanita yang salah, yang dipilih untuk melakonkan watak Nina Simone.
“Saya tidak rasa saya sesuai untuk watak berkenaan dan saya tahu ramai yang bersetuju dan saya juga tidak rasa Elizabeth Taylor merupakan pelakon yang layak untuk watak Cleopatra,’’ katanya.