KUALA NERUS – Veteran UMNO Terengganu kesal dengan tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ‘Deklarasi Mahathir’.
Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata tindakan itu, yang tidak mengikut perlembagaan Malaysia, merupakan usaha amat terdesak Dr Mahathir dan kumpulannya untuk menjatuhkan Najib yang juga Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini yang turut dihadiri 40 anggota jawatankuasa Veteran UMNO dari lapan bahagian di Terengganu.
Dalam pada itu, Veteran UMNO Terengganu menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.
“Kami mahu Najib meneruskan agendanya untuk membantu rakyat selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” katanya. – BERNAMA
