PENYANYI popular Nur Shahila Amir Amzah atau lebih dikenali sebagai Shila Amzah secara rasminya dilantik sebagai Duta Pelancongan Malaysia di China bagi meningkatkan jumlah pelancong dari negara itu ke Malaysia.
Shila Amzah Dilantik Duta Pelancongan Malaysia
Surat watikah pelantikan Shila, 26; telah diserahkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada penyanyi itu dalam satu majlis di Beijing, China semalam.
Menurut Nazri, pelantikan Shila adalah bertepatan memandangkan beliau sudah terkenal dan antara selebriti Maaysia yang disegani dalam industri seni suara di China.
“Kami sangat berbangga dengan bakat dan pencapaian yang diraihnya di sini. Dengan menerusi lagu-lagu dan persembahan pentas, Shila berjaya memenangi hati peminatnya di sini.
“Pelantikan Shila sebagai Duta Pelancongan adalah salah satu langkah bagi mengukuhkan lagi aktiviti pelancongan dan ikatan budaya di antara dua negara ini,” kata Nazri.
Beliau yakin dengan pemilihan Shila sebagai Duta Pelancongan Negara di China bakal mengukuhkan lagi jenama pelancongan Malaysia di negara tanah besar itu selain memberikan nilai tambah yang baik untuk segala usaha promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan.
Shila meraih kemuncak kejayaan di China sejak empat tahun lalu selepas memenangi pertandingan Asian Wave, sebuah program realiti nyanyian di negara tersebut yang turut mendapat liputan dan sambutan hangat dari negara seperti Taiwan dan Hong Kong.
Program Duta Pelancongan merupakan inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menghubungkan individu yang berpengaruh negara sama ada yang menetap dalam atau luar Malaysia untuk mewar-warkan keindahan Malaysia kepada kalangan rakan dan peminat.
Program yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan objektif kerajaan untuk mencapai sasaran sebanyak 36 juta kedatangan pelancong serta perolehan RM168 juta menjelang tahun 2020 mengikut Rancangan Transformasi Pelancongan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC

