PUTRAJAYA – Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 meningkat kepada 2.65 berbanding 2.62 pada 2014.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata calon yang memperolehi PNGK 4.00 pada STPM 2015 pula mengalami sedikit penurunan 0.11 peratus iaitu 0.80 peratus atau 335 orang berbanding 0.91 peratus (390 calon) dalam peperiksaan STPM 2014.
Peratusan calon STPM 2015 yang mendapat PNGK 3.50 ke atas pula meningkat kepada 11.22 peratus atau 4,711 calon berbanding 10 peratus atau 4,285 pada tahun lalu, katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2015 di sini hari ini.
Mohamed Mustafa berkata peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK 2.00 ke atas dan lulus penuh dalam lima atau empat mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan dalam STPM 2015.
“Keputusan sebegini memberi peluang yang lebih baik kepada pelajar untuk memohon memasuki universiti di dalam dan luar negara kerana lebih ramai calon yang mendapat PNGK yang baik iaitu 2.50 ke atas berbanding pada 2014,” katanya.
Beliau berkata peningkatan peratusan lulus sebanyak 1.91 peratus dalam lima dan empat mata pelajaran juga memberikan gambaran bahawa pencapaian calon Tingkatan Enam di sekolah kerajaan kini semakin baik, hasil daripada Transformasi Tingkatan Enam yang diusahakan Kementerian Pendidikan.
Katanya peratusan keseluruhan pencapaian lulus penuh calon dalam satu hingga lima mata pelajaran didapati menurun sedikit, iaitu daripada 97.81 peratus atau 41,915 calon kepada 97.64 peratus atau 40,995 calon pada STPM 2015, penurunan sebanyak 0.17 peratus yang boleh dianggap tidak signifikan.
“Penurunan ini adalah disebabkan oleh penurunan pencapaian calon yang mengambil satu hingga tiga mata pelajaran yang kebanyankannya calon swasta dan persendirian individu,” katanya.
Mohamed Mustafa berkata dalam peperiksaan STPM 2015, seramai 10 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil, sama seperti tahun 2014.
Manakala calon yang mengambil lima mata pelajaran tetapi mendapat 4A dalam mata pelajaran yang diambil didapati bertambah daripada 14 kepada 27 calon.
Katanya berdasarkan prestasi lulus penuh mengikut mata pelajaran, kesemua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2015 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas sama seperti pada STPM 2014.
“Dalam peperiksaan STPM 2015, empat mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada STPM 2014, iaitu mata pelajaran Bahasa Cina, Literature in English, Sejarah dan Ekonomi,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamed Mustafa berkata dua mata pelajaran iaitu mata pelajaran Information dan Communication Technology dan Bahasa Arab menunjukkan penurunan prestasi lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2015 berbanding pada peperiksaan tahun sebelumnya.
“Manakala 16 mata pelajaran lain selain daripada mata pelajaran yang disebut di atas tidak berubah prestasinya,” katanya. – BERNAMA

