KUALA LUMPUR – Gara-gara gemar melempar fitnah secara semborono untuk memburuk-burukkan kerajaan, pakar propaganda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bakal berhadapan dengan satu lagi saman.
Jika sebelum ini beliau disaman oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (PMB), Ahmad Nazim Abdul Rahman, kali ini beliau akan disaman oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Pengerusi LTAT, Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR telah membuat kenyataan tidak benar berhubung pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan.
Menurutnya, Rafizi turut melemparkan fitnah ke atas projek pemindahan Pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang dikendalikan oleh Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM).
“Berhubung projek pemindahan Pangkalan TUDM di Sungai Besi, pihak PPHM yang juga anak syarikat milik penuh LTAT telah memperoleh segala pembayaran daripada 1MDB. Pada masa yang sama, LTAT juga telah membuat pembayaran kepada kontraktor-kontraktor mengikut jadual.
“Manakala berhubung pembayaran gratuiti oleh LTAT kepada ahli-ahli anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan, semua permohonan lengkap yang telah diterima oleh LTAT dari Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) Kementerian Pertahanan telah diproses dan semua pembayaran telah selesai dibuat kepada ahli.
“Dengan penjelasan ini, jelas sekali Rafizi telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar serta mengelirukan. LTAT akan berbincang dengan peguam syarikat untuk menyaman Rafizi Ramli berhubung kenyataan beliau yang mampu menjejaskan reputasi dan kredibiliti LTAT,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Anwar berkata, pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan tidak mempunyai kaitan langsung dengan sebarang perkembangan dan perjalanan projek pemindahan Pangkalan TUDM di Sungai Besi.
Jelas beliau, hal itu merupakan perkara yang berbeza maka tindakan Rafizi yang cuba mengaitkan kedua-dua perkara itu adalah berniat jahat.
Justeru, katanya, anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan dan ingin mengeluarkan wang simpanan diminta menghubungi LTAT di talian1-300-88-5828 atau ke Kaunter LTAT, Tingkat Bawah, Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Sila bawa borang yang telah dilengkapkan dan dokumen-dokumen sokongan. Pembayaran akan dibuat dalam masa 24 jam selepas dokumen lengkap diterima sesuai dengan KPI yang telah ditetapkan oleh LTAT.
“LTAT sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan pembayaran yang efisien kepada ahli-ahli,” katanya. – Mynewshub.cc

