KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk memadamkan afidavit yang diikrarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyokong permohonan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk membatalkan saman fitnah dikemukakan perdana menteri terhadapnya.
Najib memfailkan saman terhadap Tun Dr Ling Liong Sik atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt tahun lepas.
Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham yang mewakili Najib berkata pihaknya membuat permohonan itu atas alasan Dr Mahathir tidak menyatakan daripada mana sumber artikel yang dirujuk dalam afidavit tersebut.
“Mahkamah Tinggi menetapkan 6 April untuk pengurusan kes,” kata Nor Emelia kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’hara yang turut dihadiri peguam Villie Nethi, mewakili Dr Ling.
Pada 15 Feb lepas, Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Dr Ling bagi membatalkan saman Najib atas alasan ia merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Mengenai cadangan mahkamah supaya kes saman berkenaan diselesaikan melalui proses mediasi, peguam itu berkata proses itu tidak mencapai sebarang penyelesaian.
Pada 27 Okt tahun lepas, Najib menyaman Dr Ling selaku defendan, antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan olehnya.
Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.
Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt 2015.
Perdana menteri berkata perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia. – BERNAMA
